Dr Zainal Azam bin Abd Rahman
Fellow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia
Perkataan jenayah dalam Islam mengandungi pengertian yang am dan
khusus. Secara amnya ia bererti sesuatu yang tidak baik dilakukan dan
ia merangkumi dosa. Dari segi perundangan apa sahaja yang dilarang
dalam Islam, jika dilakukan ia adalah satu dosa dan dengan itu boleh
ditakrifkan sebagai jenayah dan mempunyai implikasi-implikasi tertentu
dari segi hukuman.
Jenayah hudud adalah pelanggaran hak Allah yang dikenali juga sebagai
hak awam atau masyarakat dan dalam masa yang sama merupakan satu dosa
besar pada pandangan Islam. Hukuman hudud tidak boleh digugurkan jika
telah sabit dengan bukti di hadapan mahkamah. Begitupun ia boleh
digugurkan jika pengakuan itu ditarik balik oleh tertuduh walaupun pada
saat-saat akhir sebelum hukuman.
Jenis-jenis kesalahan hudud dan kukumannya adalah tetap tidak boleh
dipinda kerana ia bersifat mandatori. Pendakwaan kes-kes hudud dibuat oleh pihak pendakwa awam yang mewakili pihak berkuasa dan juga masyarakat keseluruhannya. Oleh sebab yang demikian ia menepati konsep jenayah sebagaimana yang difahami dalam konteks perundangan konvensional kerana ia adalah pelanggaran terhadap sesuatu hak awam atau masyarakat. Fungsi hukuman hudud adalah bersifat menghukum dan juga bagi tujuan pencegahan dan kerana itu salah satu rukun yang perlu ada ialah kesalahan itu hendaklah telah dilakukan dengan niat dan dengan cara sengaja.
Takzir ialah
satu bentuk pelanggaran hak Allah yakni hak awam dan dalam masa yang
sama juga merupakan satu dosa. Jenis kesalahan takzir disebut dalam
syariah, tetapi hukumannya terserah kepada budi bicara pemerintah atau
hakim yang mendengar sesuatu kes itu. Hukuman yang dikenakan tidak
bersifat mandatori kerana ada banyak pilihan yang boleh dibuat oleh
hakim berkenaan dengan mengambil kira keadaan atau status pesalah,
melainkan pihak pemerintah telah menetapkan hukuman tertentu bagi
kesalahan tersebut.
Pendakwaan bagi kes-kes
takzir dilakukan oleh pihak pendakwa awam dan kerana itu takzir juga
mempunyai ciri-ciri jenayah dalam konteks konvensional. Ia juga
bertujuan menghukum pesalah dan juga untuk pencegahan. Yang membezakan
takzir dengan hudud ialah hukuman hudud sudah ditentukan bagi kesalahan
berkenaan dan tidak boleh dipinda atau diubah kepada hukuman lain.
Qisas pula ialah kesalahan yang merangkumi sebarang
tindakan salah dengan sengaja dan niat bagi membunuh atau mencederakan
seseorang. Ia adalah hukum bunuh balas bunuh dan cedera balas cedera.
Dari segi konsepnya, pelanggaran hak yang berlaku dalam kes qisas adalah
terhadap hak Allah/awam dan juga hak individu tetapi Islam menganggap
hak individu adalah lebih besar dalam hal ini.
Oleh
itu Islam memberikan hak kepada individu berkenaan ataupun warisnya
untuk mengambil tindakan ke atas tertuduh. Lantaran itu ia terserah
kepada mereka sama ada hendak mengambil tindakan atau tidak. Kerana itu
kesalahan qisas dari segi teknikalnya tidak boleh dikategorikan sebagai
jenayah mengikut kaca mata konvensional kerana hak mendakwa bukan
terletak kepada pendakwa awam atau masyarakat.
Manakala
bagi kes-kes yang tidak terjadi akibat adanya niat dan perlakuan
sengaja oleh tertuduh, maka hak mangsa atau keluarganya adalah terhadap
pampasan atau ganti rugi yang dikenali dalam Islam sebagai diyat dan
daman. Hukuman qisas juga boleh ditukar dengan tuntutan diyat atau
pampasan jika diinginkan oleh mangsa atau warisnya dan mereka juga boleh
memberikan kemaafan secara percuma kepada pesalah yang telah
disabitkan. Jika kerana sesuatu sebab khusus qisas tidak dapat dikenakan
ke atas pesalah, maka hukuman qisas itu dengan sendiri digugurkan dan
diganti dengan diyat atau pampasan.
Kesalahan
qisas dan diyat sebenarnya merupakan satu bentuk hukuman yang merangkumi
tujuan menghukum pesalah sengaja dan juga memberi pampasan kepada
mangsa bagi kesalahan tanpa niat. Kerana itu ia lebih sesuai dikaitkan
dengan undang-undang tort dalam konteks konvensional melainkan ia
melibatkan pihak mangsa atau waris menuntut qisas dilaksanakan kepada
pesalah di mana elemen pampasan tidak timbul.
Pelaksanaan
undang-undang jenayah Islam pada asasnya merupakan sebahagian daripada
ketaatan umat Islam kepada perintah Allah s.w.t. dan kerana itu
mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan soal akidah dan keimanan
mereka kepada Tuhan Yang Maha Pencipta dan Maha Adil. Ini kerana
peraturan jenayah seperti mana yang ditetapkan oleh Allah di dalam
al-Quran dan juga sunah Nabi adalah sebahagian daripada agama Islam itu
sendiri.
Dari segi yang lain pula, hukuman yang
dikenakan ke atas penjenayah yang terbukti bersalah, sebenarnya satu
proses penyuciannya daripada dosa yang dilakukan. Ini membezakan
kedudukan hukuman Islam dengan hukuman biasa atau sivil di mana tidak
seperti pesalah yang menerima hukuman di bawah undang-undang syariah
yang akan dikira bersih dari dosa, pesalah di bawah undang-undang biasa
tidak akan menikmati kedudukan yang sama.
Ini
kerana di bawah perundangan biasa, undang-undang dan hukuman tiada
kaitan dengan konsep dosa dan pahala serta perhitungan hisab di hari
akhirat. Lantaran menyedari hakikat inilah kita dapati pada zaman Nabi
ada orang yang telah melakukan dosa dan jenayah dengan rela hati datang
menemui Nabi meminta dibersihkan daripada dosa dan memohon dijatuhkan
hukuman seperti mana yang telah diperuntukkan oleh Allah.
Keadaan ini tidak mungkin berlaku dalam sistem
perundangan biasa, bahkan pelaku jenayah akan sentiasa berusaha untuk
melepaskan dirinya daripada tuduhan walaupun memang sebenarnya dia telah
melakukan jenayah berkenaan.
Sistem perundangan
jenayah Islam juga mengambil kira nilai kemanusiaan sejagat. Ini jelas
dapat dilihat dalam peruntukan qisas bagi kes bunuh dengan niat serta
disengajakan di mana kedudukan dan rasa hati waris mangsa diambil kira
dalam menentukan jenis hukuman yang bakal dihadapi oleh pembunuh. Bagi
yang berasa puas hati jika hukuman balas bunuh dapat dikenakan ke atas
pembunuh, mereka berhak untuk menuntut agar hukuman demikian
dilaksanakan. Ini sudah tentulah akan dapat menghapuskan rasa marah dan
keinginan hendak membalas dendam yang lumrahnya ada pada ahli keluarga
mangsa yang mati dibunuh.
Manakala bagi yang
ingin memaafkan pembunuh boleh berbuat demikian sama ada dengan menuntut
pampasan/diyah sebagai balasan ataupun membebaskannya secara percuma.
Elemen pampasan ini sudah tentulah akan lebih bermakna lagi bagi ahli
keluarga mangsa yang berada dalam keadaan yang serba kekurangan dari
segi kewangan, maka sudah tentulah bayaran yang diterima dapat sedikit
sebanyak meringankan bebanan mereka akibat kematian yang disebabkan
jenayah berkenaan. Namun begitu bagi yang inginkan ganjaran pahala dan
tidak perlukan wang pampasan mereka boleh memberikan kemaafan secara
percuma, bahkan pilihan inilah yang sangat digalakkan oleh Islam.
Undang-undang hudud diperuntukan bagi menggerunkan
masyarakat yang ada cadangan untuk melakukan jenayah berat.
Undang-undang ini mempunyai syarat-syarat yang amat banyak sebelum ia
boleh dikenakan ke atas seseorang tertuduh. Kadangkala kelihatan mungkin
agak mustahil untuk mensabitkan seseorang tertuduh melainkan dengan
pengakuan bersalah yang dibuatnya. Ini jelas bagi sesetengah kes seperti
zina yang memerlukan empat orang saksi yang jelas melihat perbuatan itu
dilakukan. Manakala bagi kes-kes yang lain pula sebarang keraguan yang
wujud atau berjaya ditimbulkan akan dengan mudah dapat menyebabkan
hukuman hudud itu tidak kenakan. Bahkan seseorang hakim yang
membicarakan kes-kes sedemikian dinasihatkan agar sentiasa bersikap
terbuka dalam menerima keraguan yang ditimbulkan. Ini adalah kerana
secara prinsipnya Islam melihat adalah lebih baik tersilap tidak
menghukum daripada tersilap menghukum seseorang di dalam kes-kes hudud.

|